Monday, October 30, 2006

Syawal dan Kematian

4 Syawal tahun ini (1427) merupakan hari yang bersejarah bagi keluarga Indahsah Haji Sidek, ibu beliau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Malaikat telah menjemput beliau pada hari Jumaat jam 7:50pagi. Suasana sedih di pagi Syawal yang keempat, diredakan dengan rasa kesyukuran yang tidak ternilai kepada Allah swt. Kami sempat mentalqinkan kepada beliau dengan kalimat tauhid 'La ila ha illAllah'. Akhirnya setelah mendengar beberapa kali kalimah tauhid diajarkan, beliau mengucapkan kalimat tersebut sebanyak 2 kali lalu meninggalkan kami bagaikan orang yang sedang tidur.

Masih teringat akan sebuah hadith, Muaz bin Jabar ra. berkata : Aku mendengar Rasulullah :saw bersabda :{مَنْ كَانَ آخِرُ كَلامِهِ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ } "Barangsiapa yang pada Akhir perkataannya berkata Tiada Tuhan melainkan Allah, dijanjikan baginya Syurga". Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad (#21529) dan Abu Daud (#3116), dan Syiekh Nasyiruddin al-Albani mengkelaskan hadith tersebut sebagai sahih didalam Irwa' al-Ghalil (#687). Moga-moga Allah mematikan beliau didalam keadaan yang beriman dan diberikan balasan syurga.

Bagi mereka yang mati pada hari Jumaat juga boleh mengharapkan agar Allah swt melindungi mereka dari azab kubur. Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad (#6546) dan al-Tirmudzi (#1074) bahawa Rasulullah saw pernah bersabda : {ما من مسلم يموت يوم الجمعة أو ليلة الجمعة إلا وقاه الله فتنة القبر} "Tidak mati seseorang Islam pada hari Jumaat atau malam Jumaat, melainkan Allah melindunginya dari fitnah kubur". Menurut Syiekh Nasyiruddin al-Albani bahawa jika dilihat dari segi isnad, hadith ini boleh dikelaskan sebagai Hasan ataupun Sahih.

Diantara salah faham agama bagi masyarakat Melayu adalah membudayakan upacara kematian. Malah kedengaran ada dikalangan yang melawat membaca surah Yaasin disebelah mayat. Syeikh Ibn Taimiyyah rh didalam kitab al-Ikhtiyaaraat (ms. 91) mengatakan bahawa membaca surah Yaasin keatas mayat adalah bid'ah, walaupun beliau menyokong hadith yang membolehkan membaca surah Yaasin ketika sedang nazak. Alangkah baiknya jika kita dapat melarikan diri dari khilaf ini dengan hanya membaca do'a agar Allah swt mengampunkan dosa dan merahmati si-mati tersebut. Kenapa perlu melakukan perkara yang khilaf lebih-lebih lagi mati hanya datang sekali sahaja? Tidakkah kita mahu melihat mayat tersebut disempurnakan dengan amalan-amalan yang dipersetujui dan disepakati oleh ulama sahaja?

Bacaan tahlil memang tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat Melayu kita. Walaupun perkataan Tahlil itu membawa erti membaca kalimat 'La illaha illallah', ia lebih dikenali sebagai susunan bacaan yang dibukukan, dibaca pada satu majlis kematian atau kenduri arwah, termasuklah mengadakan 'bacaan tahlil' sebaik sahaja mayat dikebumikan. Ulama' hanya khilaf membincangakn samada bacaan al-Quran dapat memberi munafaat kepada yang mati atau tidak, dan setahu saya, mereka tidak pernah membincangkan samada boleh atau tidak bacaan tahil beramai-ramai itu dibaca dan memberi kesan kepada si-mayat.

Mazhab Syafie dan Imam Nawawi rh didalam Syarah Muslim mengatakan bahawa tidak sampai bacaan al-Quran kepada si-mati, dengan memetik ayat al-Quran surah al-Najm (ayat 39) yang maksudnya "Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya". Imam Syawkani didalam mentafsirkan ayat ini menyebut bahawa seseorang itu tidak sekali-kali mendapat faedah melainkan amalan yang dia usahakan sendiri, kecuali jika terdapat nas-nas khusus yang membenarkan seperti do'a, puasa, haji dan harta. Didalam melarikan dari khilaf ini, Dr Ahmad Syurbasi didalam kitabnya Yasalunak mengatakan bahawa bacaan al-Quran yang dido'akan agar ganjarannya memunafaatkan si-mati akan sampai kepada si-mati apabila Allah menqabulkan do'a tersebut.

Melihatkan kepada peristiwa 4 Syawal ini, dirasakan suatu keperluan diadakan tajdid keatas upacara kematian. Budaya dan Adat seolah sudah mewarnai amalan pengurusan jenazah didalam masyarakat kita. Khilaf ulama' lebih diutamakan dari pendapat yang dipersetuji oleh semua (ittifaq), malahan khilaf dikatakan sunnah! Masyarakat kita lebih banyak mengambil pendapat yang membenarkan amalan-amalan yang biasa diamalkan. Mereka masih memetik pendapat-pendapat Mazhab yang membenarkan bacaan al-Quran diatas kubur. Pernahkah mereka melihat kepada pandangan-pandangan yang melarang menjadikan kuburan seperti masjid? Kalaulah dibenarkan membaca al-Quran disisi kubur, kubur siapakah yang paling layak dibacakan al-Quran? Bukankah kubur Rasulullah lebih berhak dibacakan al-Quran disampingnya?

Kepada hambaMu Tumirah bt Saban, Ya Allah, Ampunkan dosanya dan Rahmatilah beliau (اللهم اغفر لهاوارحمها), dan tempatkan beliau dikalangan hamba-hambaMu yang beriman. Amin.

-kamin, 7 Syawal, 1427 -

No comments: