Wednesday, August 01, 2012

Bilangan rakaat Tarawih : satu penyelesaian

Bila sahaja timbul bulan Ramadhan, seperkara yang tidak dapat dielakkan adalah berlakunya perbezaan pendapat mengenai jumlah rakaat solat tarawih. Cuma akhir-akhir ini banyak masjid yang boleh menerima perbezaan pendapat ini dengan fikiran yang terbuka. Malah, terdapat masjid atau surau-surau yang membezakan parking kereta antara mereka yang bersolat 8 rakaat dan mereka yang bersolat 20 rakaat. Keterbukaan ini melahirkan kreativiti dan idea positif dikalangan AJK masjid dan surau.

Jika disoroti sejarah solat tarawih, bilangan rakaatnya tidak terhad kepada 8 dan 20 sahaja, malahan ada yang mencecah 36 rakaat dan lebih. Sesuai dengan namanya “solat berihat-rihat”, pelbagai aktiviti diwujudkan bagi mengisi masa rihat diantara rakaat solat. Diantara amalan-amalan yang dilakukan adalah seperti : berzikir, membaca al-Quran, tawaf ; cuma bezanya amalan-amalan ini dilakukan dinegara-negara Arab ialah ianya dilakukan secara individu. Menurut bekas Pengerusi Lajnah Fatwa al-Azhar, Syiekh Atiyah Saqr rh.:-

"Selingan yang sama berlaku pada masyarakat Mekah pada masa solat tarawih ialah bertawaf mengelilingi kaabah 7 pusingan selepas selesai 2 rakaat tarawih, perkara ini yang menjadikan masyarakat Madinah melebihkan bilangan rakaat tarawih 20 rakaat keatas sebagai gantian kepada tawaf, dan ini adalah cara sistematik untuk mengetahui berapa bilangan yang mereka solat, disamping akitiviti2 solat, maka tidaklah ditegah secara mutlak! Ini tidaklah dimasuk dibawah apa yang dinamakan bid'ah., nas-nas umum membuktikannya, disamping tidak ada bangkangan terhadapnya, dan jika ia dinamakan atas nama bid'ah, maka samalah dengan apa yang disebutkan oleh Umar ra : Ini adalah senikmat-nikmat bid'ah, apabila beliau melihat orang Islam bersolat tarawih berjemaah dibelakang Ubay bin Kaab"

Jelas menunjukkan bahawa masyarakat Mekah pada zaman dulu melakukan tawaf dimasa rehat diantara 2 solat tarawih, dan masyarakat Madinah pada masa Umar bin Abdul Aziz menambah rakaat sampai kepada 36 rakaat dan 3 witir sebagai ganti ibadat tawaf. Begitu juga semasa selingan (rehat) diantara 2 rakaat atau 4 rakaat solat tarawih boleh diisi dengan bacaan al-Quran, berselawat, berdo'a dsb, yang jatuh kepada definasi luas ibadat zikir. Berkata al-Syiekh lagi : "Disana tidak ada nas yang melarang berzikir atau berdo'a atau membaca al-Quran diantara setiap 2 rakaat tarawih atau setiap empat rakaat misalnya, dan ia masuk didalam kategori perintah umum berzikir didalam setiap keadaan. Pada umumnya para salaf tidak melakukannya dan tidak juga menunjukkan ianya dilarang."

Syiekh Atiyah Saqr rh. menjelaskan bahawa tidak pula terdapat apa-apa larangan mengenai amalan yang dilakukan pada waktu selingan tersebut. Menurut sebuah fatwa yang dikeluarkan oleh Daar al-Iftaa' Mesir :

"Adalah digalakkan duduk diantara setiap 4 rakaat dengan kadarnya, begitulah diantara 5 tarawih dan witir, dan ini diwarisi sejak dari golongan salaf sebagaimana solat Ubay bin Kaab dan para sahabat yang diriwayatkan oleh Abi Hanifah - dan nama tarawih (rehat-rehat) itu sendiri dibina atas dasar ini - maka yang afdal ialah menunggu, dan tidak ada riwayat para salaf mengenai perkara tertentu yang mereka lakukan, yang dinyatakan semasa menunggu, dan masyarakat setiap negara bebas memilih masa/waktu untuk duduk, dan diantara rehat dilakukan pembacaan al-Quran, dan bertasbih, dan Solat 4 rakat berseorangan, bertahlil, bertakbir atau menunggu dengan berdiam diri dan tidak ada sesuatu perkara khas yang di lakukan."

Sheikh al-Islam Ibn Taymiyah rh., pernah menyebut : "Jika seorang bersolat Tarawih sepertimana mazhab Abu Hanifah, Al-Syafie dan Ahmad, iaitu 20 rakaat atau sebagaimana Mazhab Malik iaitu 36 rakaat, 13 rakaat, atau 11 rakaat, maka itu yang terbaik, sebagaimana Imam Ahmad berkata, kerana tidak dinyatakan bilangan rakaat. Maka lebih atau kurangnya bilangan rakaat bergantung kepada berapa panjang atau pendeknya qiamnya" - [Al-Ikhtiyaaraat ms 64]

Persoalan yang timbul sekarang adalah, berapakah bilangan solat terbaik yang perlu dilaku bagi memaksimakan fadhilat solat sunat Ramadhan ini? Jawapannya ialah tidak adalah bilangan rakaat tertentu, akan tetapi yang terpenting ialah berdiri bersolat dibelakang Imam sehingga selesai solat tersebut. Didalam sebuah hadith Riwayat Abu Zar al-Ghafari ra. :-

إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا صَلَّى مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ حُسِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ
“Apabila seorang lelaki bersembahyang dengan seorang imam sehingga dia pergi, dia dikira sebagai telah menghabiskan sepanjang malam dalam solat.” [Hadith Riwayat Abu Daud didalam Sunannya (Kitab Solat, #1377).

Hadith ini menjelaskan bahawa barang siapa yang bersolat tarawih bersama Imam sehingga selesai solat, dia akan mendapat ganjaran solat sepanjang malam. Maka fenomena meninggalkan Imam selepas selesai melakukan 8 rakaat tidak memenuhi kriteria hadith diatas, melainkan Imam tersebut melakukan solat 8 rakaat juga. Hadith ini dapat menyelesaikan polemik yang berlaku dikalangan masyakat kita dimana bilangan rakaat tarawih bergantung kepada Imam, dan makmum hendaklah bersama Imam sehingga selesai solat dilakukan bagi memaksimakan ganjaran Qiam Ramadhan. WA.

Sekian, wassalam

kamin, adaptasi jawapan dari Laman al-ahkam.net
12 Ramadhan 1433
1. Sheikh Atiyyah Saqr. Ahsan al-Kalaam ; fi al-Fataawa wa al-Ahkam - 2. Dar al-Ghad al-'Arabi, 1994. ms 234, dan 103.

No comments: